Make your own free website on Tripod.com
Terima Kasih kerana telah memilih untuk memahami
MASALAH SABAH
Oleh Dr. Jeffrey Kitingan,
Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah
Pejuang Hak Sabah dalam Malaysia

PENGENALAN

Dari jumlah 2.798 juta penduduk warganegara Malaysia di Sabah, komuniti Kadazandusun (343.4 ribu @ 24.6%) dan Murut (53.9 ribu @ 3.9%) (KDM) adalah kumpulan etnik anak negeri yang terbesar di Sabah, iaitu 28.5%.(Banci penduduk dan perumahan Malaysia 1991, jadual 2.12). Lebih daripada 2/3 (atau 70%) daripadanya tinggal di luar bandar dan kebanyakannya mengusahakan pertanian saradiri.

Terikat dengan amalan-amalan perladangan desa dan budaya-budaya tradisional, mereka seringkali kelam-kabut dalam menentukan budaya yang berorientasikan wang ataupun nilai-nilai budaya; antara kebebasan bekerja berperaturan sendiri ataupun mematuhi peraturan-peraturan atau keperluan kerajaan moden. Namun demikian, mereka perlu berubah dan menyesuaikan diri dengan realiti sistem ekonomi dan politik dunia moden.

Mereka tidak mempunyai pilihan yang lebih baik. Sejak Sabah mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia, masyarakat KDM telah cuba untuk berubah dan menyesuaikan diri. Terdapat peluang bagi mereka untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam proses transfomasi dan pembentukan negara bangsa Malaysia.

Senerio agak berbeza sejak itu. Pemimpin KDM seperti Tun Fuad Stephens, Datuk G.S Sundang dan Datuk Peter Mojuntin telah berjuang untuk nasib generasi kini dan telah menunjukkan kepada kita keperihatinan mereka kepada orang-orang kita dan rakyat Sabah secara keseluruhannya. Ada di antara mereka benar-benar telah berkorban demi orang kita. Mereka telah mati untuk kita.

Pada hari ini, peranan dan status komuniti KDM adalah tidak tentu arah. Pemimpin-pemimpin kita bercerai-berai dalam politik. Tiada seorangpun di antara kita yang benar-benar tahu arah tuju masyarakat kita. KDM dalam kerajaan (kakitangan kerajaan KDM) telah ditukarkan ke jawatan yang tidak penting, diturunkan pangkat ataupun didiskriminasikan(1). Pemimpin-pemimpin KDM berselisih faham sesama sendiri dan saling kecam-mengecam di antara satu dengan lain.

Dalam pada itu, komuniti KDM kekal termundur di antara yang mundur dengan harapan untuk melepasi garisan kemiskinan adalah tipis. (lihat jadual 3.6 1984, 1987). Dalam masa yang sama, status Sabah sebagai sebuah negeri yang merdeka dalam Malaysia sedang diubah berikutan dengan pindaan undang-undang untuk memindahkan kuasa-kuasa Ketua Menteri dalam hal-hal tanah, perhutanan, galian dan Yayasan Sabah kepada Kabinet dan TYT.

Hasrat untuk menghapuskan Perjanjian 20 perkara dan penurunan status Sabah di dalam persekutuan menjadi negeri No. 12 atau 13 Malaya masih mengambang-ambang kita. Tambahan pula, bilangan pendatang tanpa izin(PTI) dari negara-negara jiran semakin banyak dan jumlah mereka mengatasi kita(Rujuk rajah 2.2), yang mana dengan sekelip mata sahaja mereka telah memiliki kad pengenalan biru dan hak kewarganegaraan. Dalam hal ini, orang bertanya; apakah yang akan berlaku selepas ini? Dimanakah arah tuju kita secara politik dan ekonomi?

Inilah sedikit sebanyak persoalan dan kekhuatiran kita. Kita perlu menangani isu-isu ini dengan cepat sekiranya kita mahu masa depan kita terjamin di negara ini. Kita mesti bertindak. Kita mesti berkomunikasi. Kita mesti tentukan satu wawasan bersama untuk masa depan kita semua dan membentuk mekanisma-mekanisma untuk merealisasi visi ini.

Kertas kerja ini disediakan untuk Bengkel KDI, bertujuan hanya untuk membawa message kekhuatiran ini sebagai landasan untuk menentukan arah tuju masyarakat KDM.

(1) Ramai Pengurus Yayasan Sabah telah dilucut dari jawatan dan dijadikan Consultant tanpa peranan tertentu. Terdapat Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan dari KDM dan Pegawai-Pegawai Daerah telah diturunkan pangkat dan digantikan dengan pegawai-pegawai baru - bukan daripada KDM

Laman ini didokong oleh Anak Jati Sabah Ahli Kumpulan Sabah Awareness Forum & Anak Jati Sabah
Champion's of Sabah's Right